SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Mengumumkan RMS Synergy sebagai 'Official Red Partner'

Feb 12, 2025 - FAS

SHAH ALAM, 12 Feb - Kelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC (SFC) hari ini secara rasmi mengumumkan rakan rasmi baharu kelab, RMS Synergy, sebuah syarikat sinergi yang memainkan peranan dalam mewujudkan impak positif kepada masyarakat, alam sekitar dan komuniti.

 

Kerjasama yang dimeteraikan di Hotel Concorde, Shah Alam pagi tadi adalah usaha serta dedikasi kedua-dua syarikat dalam menginspirasi dan menaikkan sifat kemasyarakatan yang bersemangat tinggi terutamanya di kalangan komuniti bola sepak, belia dan bakal atlet di Selangor.

 

Dalam masa yang sama, syarikat yang ini juga pernah menerima pengiktirafan sebagai salah satu daripada sepuluh teratas dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berprestij 100 Awards. RMS Synergy, menyasarkan untuk memberikan sokongan kepada kelab serta membina legasi yang memberi impak positif bukan sahaja kepada para pemain, penyokong malah masyarakat dalam mengukuhkan identiti kelab sebagai organisasi yang bertanggungjawab.

 

Ketua Pegawai Eksekutif RMS Synergy, Mohamad Asraf Abdul Ghafur, meraikan kerjasama ini: “Hari ini menjadi salah satu peristiwa penting bagi RMS Synergy. Kami berbangga dapat menyalurkan kepakaran serta menyokong Selangor FC, salah satu pasukan bola sepak ikonik di Malaysia. Kerjasama ini semestinya menjanjikan inspirasi dan menaikkan semangat komuniti kelab Selangor FC secara tidak langsung mengukuhkan identiti organisasi dalam kalangan masyarakat serta komuniti bola sepak Malaysia. Malah ini juga akan membina legasi yang berterusan memberi impak positif kepada masyarakat.”

 

Dr. Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, turut memberikan kenyataan: “Kami amat berbesar hati dengan perkongsian bersama RMS Synergy ini. Kami sentiasa berusaha untuk menjadikan kelab ini lebih dekat dengan para penyokong Gergasi Merah dan komuniti di Selangor. Jalinan bersama RMS Synergy, sebuah syarikat yang diiktiraf mengutamakan memberi sumbangan kepada masyarakat menjadikan perkongsian ini jejar dengan nilai yang kami ingin ketengahkan. Pelbagai program Corporate Social Responsibility (CSR) akan dijalankan selepas ini bersama RMS Synergy yang tertumpu bukan sahaja kepada kelab, juga kepada para penyokong Gergasi Merah dan komuniti di Selangor.”

 

Selangor FC sentiasa berusaha untuk terus menghidupkan komuniti dalam negeri Selangor melalui sukan bola sepak. Kerjasama ini dapat sama-sama mencipta masyarakat yang makmur, belas kasihan yang tinggi serta berlaku adil secara berterusan. Semoga kemajuan kelab bukan sahaja tertumpu kepada perlawanan tetapi juga kepada masyarakat.

 

Demi Kebanggaan!